Sunday, March 18, 2007

6 THINGS YOU DONT KNOW ABOUT ME - PART 2

Kedua : EPILEPSI & THALESEMIA

Epilepsi merupakan satu episod ngeri dalam kehidupanku. Aku sendiri tidak mengingati bilakah kali pertama aku diserang epilepsi. Menurut cerita ibuku, epilepsi menyerang diriku pada kali pertama ketika aku berumur 3 tahun. Demam panas yang amat kuat telah menyebabkan epilepsy. Kedua ibu bapaku panik pada kali pertama itu. Sementelahan pula, aku merupakan anak sulung. Mujurlah ibuku bertindak pantas dengan menyuakan sudu yang berbalut tuala basah ke dalam mulutku untuk mengelakkan kecederaan lain. Mengikut kata doktor, gigitan pesakit epilepsi sangat kuat dan bisa membuatkan lidah terputus.

Epilepsi ini berterusan sehinggalah aku berusia 10 tahun. Apabila sahaja aku demam panas yang agak kuat, epilepsi akan mula menyerang. Aku amat bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang amat menyayangiku dan sanggup bersengkang mata menjaga diriku yang sakit. Cerita ibuku lagi, akulah satu-satunya anak yang sentiasa sakit ketika kecil.

Air tulang belakangku juga telah diambil untuk diuji oleh doktor ketika aku berumur 6 tahun. Pada mulanya, arwah datukku tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Namun disebabkan kekerapan aku diserang epilepsi makin bertambah, arwah datukku memberikan persetujuan. Mungkin sayangnya arwah datukku kepada cucunya yang sulung menyebabkan dia berbelah bahagi untuk membuat keputusan. Hasil keputusan ujian tersebut adalah negatif. Ternyata, tiada kuman yang menjangkiti otakku.

Walaupun begitu, aku dibekalkan dengan pelbagai jenis ubatan yang perlu diambil secara berkala untuk mengelakkan serangan epilepsi. Dengan kuasa dariNya, epilepsi itu semakin jarang menyerang. Dan di usia 10 tahun, doctor mengesahkan yang aku bebas dari epilepsi. Aku amat gembira kerana tidak perlu lagi mengambil ubat-ubat tersebut. Aku yakin, epilepsi itu akan hilang sama sekali.

Telahanku ternyata meleset. Epilepsi itu datang lagi pada semester kedua pengajianku di universiti, ketika aku berumur 19 tahun. Bukan sekali, malahan 3 kali, sepanjang au di universiti. Semuanya berpunca daripada demam panas yang sangat teruk. Mujurlah aku mempunyai teman-teman rapat yang sudi membantuku. Aku sangat berterima kasih.

Melalui pembacaan, barulah aku tahu bahawa epilepsi tidak akan hilang. Ia pasti akan berulang sekiranya si penghidap diserang demam panas yang sangat teruk. Dari detik itu, aku sentiasa berjaga-jaga. Jika aku terasa ingin demam, cepat-cepat aku membuat langkah pencegahan untuk mengelakannya dari menjadi lebih teruk.

Alhamdulillah, epilepsi tidak lagi datang. Namun, aku hanya mampu menarik separuh nafas lega. Aku harus sentiasa berhati-hati dan beringat-ingat. Dalam tempoh aku dirawat di hospital semasa aku masih kanak-kanak, aku juga didapati mempunyai thalesemia minor. Maknanya, aku adalah pembawa. Sekali lagi, aku harus berhati-hati agar tidak bertemu jodoh dengan sesama pembawa. Dikhuatiri, zuriatku akan mendapat thalesemia major dan menjadi penghidap.

6 THINGS YOU DONT KNOW ABOUT ME - PART 1

Terima kasih kpd mrsparin kerana telah men-tagged saya. Nampaknya nak kena buat jugakla entry tagged ni. Tajuk tagged pada kali ini adalah, "6 PERKARA YANG ORANG LAIN TAK TAU PASAL DIRI KITA". Ada ke yang org tak tau ? Rasanya...smua kawan-kawan saya tau siapa diri saya dan personaliti saya. Tapi, demi kawan-kawan bloggers...saya akan ceritakan serba sedikit.

Pertama : SENTIASA PERCAYAKAN CINTA

Saya sentiasa pecayakan cinta. Bagi saya, cinta itu adalah sesuatu perkara yang sangat indah. Lebih indah lagi jika kedua-dua belah pihak memberikan response yang diharapkan. Jadi, tiadalah istilah cinta bertepuk sebelah tangan. Cinta pasti akan hadir cuma cepat atau lambat bergantung kepada usaha individu tersebut.

Saya sentiasa berpikiran positif tentang cinta. Walapun percubaan pertama, kedua, ketiga atau keempat tidak berjaya....saya akan tetap terus mencuba sehinggalah saya akan menemui cinta yang bisa membahagiakan saya. Ianya amat menyeronokkan apabila saya tahu ada orang yang menyintai saya dan dia tidak berhenti menyintai saya dan saya akan melakukan perkara yang sama kepada insan yang saya cintai. Saya akan menerima dirinya seadanya. Dan saya berharap agar dia menerima diri saya seperti adanya saya.

Cinta itu kadang-kadang amat kompleks dan kadang-kadang amat senang. Namun saya tidak akan berhenti percaya pada cinta.

Friday, March 09, 2007

MONOLOG "TENTANG CINTA" - PART 2

Selepas lebih 7 tahun, rasa itu datang lagi. Rasa ingin dimilikki dan memilikki. Rasa ingin disayangi dan dicintai. Sudah pasti bukan orang yang sama kerana masing-masing sudah punyai haluan tersendiri. Hadirnya insan baru, memberikanku pengharapan baru.

Si dia hadir, ketika aku betul-betul memerlukan seseorang untuk mengisi kekosongan hati ini. Pencarian ini tidak pernah berakhir dari dulu. Mungkin ini merupakan noktah kepada pencarian ini. Si dia hanyalah insan biasa. Bukannya orang berada dan juga berkedudukan tinggi. Hanya sederhana. Namun personalitinya membuatkan aku tertarik. Si dia membuatkan aku bahagia dan memberikanku rasa ingin dimilikki. Perasaan dimilikki dan memilikki sangat indah. Indah sehinggakan aku terawang-awang dan rasa ini sukar untuk diungkapkan.

Namun, aku tidak ingin terburu-buru atau terlalu berharap. Pengalaman lalu telah mengajarku. Banyak percubaan sebelum ini tersungkur di tengah jalan. Jadi, aku lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu perhubungan yang bakal diteruskan. Sama ada serasi atau pun tidak. Semuanya masih di peringkat percubaan. Bagiku, biarlah berhati-hati daripada kecewa di kemudian hari. Sebulan atau dua bulan, masih belum cukup untuk mengenal hati budi dan membuat sebarang penilaian.

Aku hanya menikmati perhubungan ini sebaik mungkin. Meneruskan rasa gembira dan rasa dimilikki. Dan aku akan sentiasa berfikiran positif. Sedaya upaya akan aku fahami si dia dan sebaliknya. Mungkin dia untukku dan mungkin juga tidak, Namun, aku harus berani mengambil peluang. Hidup ini umpama satu perjudian. Jika menang, teruskan kehidupan dengan rasa puas dan nikmatinya dengan kegembiraan. Jika tewas, hadapinya dengan tabah dan berusaha untuk berjaya di lain percubaan.

ADA SMS DARI SI DIA!!! Monolog ini harus berhenti di sini. Si dia lagi penting daripada segalanya. Bukanlah bermaksud aku menolak ke tepi prinsipku tapi aku harus mengatur kembali keutamaan dan kepentinganku. Bagi aku, setiap insan yang berada di sekelilingku dan dalam kehidupanku adalah mereka yang penting dan istimewa. Merekalah yang menyokongku dan mengajarku tentang erti kehidupan. Namun, mereka semua masih tidak bisa untuk memberikanku rasa ini. Rasa ini sungguh indah dan tidak luak walaupun dinikmati berulangkali. Hanya si dia yang bisa melakukannya

Permisi dulu. Aku harus membalas sms si dia.

MONOLOG "TENTANG CINTA" - PART 1

Aku masih ingat, relationship yang terakhir adalah pada tahun 2000. Semuanya bermula pada tahun 1996 sampailah awal 2000. Walaupun tanpa lafaz “declaration” tapi kami tahu yang kami saling menyintai dan memerlukan.

Aku tahu dia cemburu bila dia melihat aku bersama dengan insan lain. Aku tahu dia perlukan aku apabila dia datang padaku dan suarakan permasalahannya dan meminta aku menjadi pendengar setianya. Aku tahu dia sayangkanku kerana dia sanggup bersabar dengan kerenahku. Aku tahu dia menjaga dan mengambil berat tentangku kerana kami pernah “berperang besar” dan tidak bertegur sapa selama 6 bulan kerana aku tidak bersetuju dengan caranya yang agak keterlaluan. Dan aku tahu, aku masih merindui dan menyayanginya kerana aku masih menerimanya hanya dengan lafaz maaf darinya. Aku tahu dan dia pun tahu. Cuma dia menjadi keliru bila kami berjauhan. Hubungan kami putus begitu sahaja hanya disebabkan sepucuk surat. Sepucuk surat yang aku utuskan kepadanya, melafazkan segala rindu dendam. Namun, surat itu menjadi satu titik peralihan dalam hubungan kami.

Dia keliru dan serba salah. Aku jua keliru dan bingung. Keliru di atas kelangsungan perhubungan ini. Adakah ianya perlu diteruskan atau perlu ditangguhkan atau ditamatkan sahaja. Bagiku jarak bukanlah penghalang. Baginya, itu mungkin antara penyebabnya. Persekitaran mempengaruhi pertimbangan seseorang individu. Lantas, menjadi sesuatu yang tidak enak untuk dinikmati. Amarah dan emosi melangkaui pemikiran rasionalku. Jadi kami putus. Ternyata, aku menyesal dengan apa yang terjadi. Namun, aku terlalu ego untuk melafazkan kata maaf. Kata-kata maaf dan penjelasannya, aku campak jauh dan kutafsirkan sebagai kata-kata kebencian dan penghinaan. Kini, bila difikirkan kembali, ternyata keputusan itu terlalu terburu-buru. Usia yang masih muda, mengelabui pemikiran. Jauh dari kematangan.

Masa berlalu dan pengalaman mendewasakanku. Aku tahu, aku tidak mungkin akan kembali ke sisinya kerana dia sudah memiliki kehidupannya sendiri. Begitu jua aku. Walaupun masih terdetik di hati ini agar dia kemabli padaku namun desah hati ini tidak mungkin akan membatasi pemikiran rasionalku. Manakan bisa bertepuk tangan jika sebelah tangan enggan melakukannya lagi dan hanya sebelah tangan yang beria-ia untuk bertepuk.

Semuanya aku jadikan sejarah. Dia harus kulupakan. Namun, memori bersamanya tidak pernah luput. Memori itulah yang akan menemani hari-hari sunyi dan sepiku. Memori itu adalah kenangan terindah yang berharga. Akan kusimpan sampai bila-bila. Walaupun tanpa kata cinta yang terlafaz, segala aksi dan perbuatannya serta tingkah lakunya sudah cukup untuk membuatku percaya yang dia pernah mencintai dan menyayangiku. Hati ini pernah dicuri olehnya.

Tuesday, March 06, 2007

PART TIME JOB

Finally, aku berjaya gak mendapat part time job selepas almost 2 months and a half aku mencuba. Hairan kan, nak dapat part time job pun susah. Tapi, bila aku pikir2 balik di mana silap aku, memang patut aku tak dapat apa2 part time job. Tapi sekarang, alhamdulillah...aku dah dapat part time job. Kerja biasa-biasa je. Part time job di Kenny Rogers di KL Sentral. Dekat ngan umah aku di Segambut. Cuma perlu naik komuter dan tambangnya pun hanya RM1 untuk sehala, kalo dua hala baru RM2. Biasanya aku budget RM1 je untuk peri balik sebab aku beli tiket untuk kanak-kanak...Heheheh....

Kerja kat situ, okla. Manager ok, kawan-kawan kerja pun ok. Walaupun dia bagi gaji murah tapi bagi aku environment kerja di situ menarik. Kiranya, aku seronok kerja kat situ. Cuma aku taknak terlalu rapat ngan staff di situ. Bukan aku ni sombong atau apa tapi aku hanya hadkan mereka sebagai kawan sekerja bukan kawan-kawan rapat. Lagipun, aku memang lambat mesra ngan orang-orang yang baru aku kenal. Aku ambil sedikit masa untuk adjustkan diri aku sendiri.

Bagi aku, kerja is kerja. Aku akan kurangkan bercakap, atau bergurau senda masa bekerja. Kalau nak bergurau atau berborak2, semua tu boleh dibuat semasa break, selepas atau sebelum masuk kerja. Bukan bermaksud kerja macam robot cuma aku lebih fokus pada kerja. Kalo setakat cakap2 biasa, tade masalah. Cuma bila customer datang, kena layan dulu. Kena habiskan semua kerja barulah boleh nak take 5 atau pun nak buat benda2 lain.

Walaupun, hanya bekerja di Kenny Rogers, aku mesti menunjukkan prestasi kerja yang terbagus. Semua perkara aku akan ambil serius. Betul cakap orang, memang memenatkan bekerja di restaurant. Tapi bagi aku, itulah cabaran kerja. Walaupun penat, aku takkan menunjukkan muka penat. Sentiasa tersenyum apabila customer menjejakkan kaki ke dalam restaurant.

Aku sedikit berbangga. Di hari pertama aku bekerja, aku sudah mendapat feedback yang bagus dari manager aku. Dan yang lebih membuat aku berasa gembira dan berpuas hati, customer memberikan aku pujian yang menyenangkan. Customer itu juga tak henti2 memuji aku dan mengatakan yang aku mempunyai masa depan yang cerah di masa hadapan.

Aku berharap, yang dia maksudkan bukan "masa hadapan" tu, bukanlah setakat di Kenny Rogers....biarlah "masa hadapan" tu apply utk kerja2 yang lagi bagus. Bukanlah aku bermaksud kerja Kenny Rogers tak bagus cuma aku rasa, aku deserve untuk kerja yang bersesuaian ngan kelulusan aku. Aku tak expect yang aku akan jd engineer semata2...cuma biarlah a job that can pay well, bukan sahaja untuk sara diri but untuk juga disimpan dalam membeli harta.

Sekarang, sudah masuk 3 minggu aku bekerja di situ. Walaupun, aku suka bekerja di situ tapi aku still berharap dapat kerja yang lagi ok. Walaupun gajinya agak murah RM3.50/hour tapi dapat complimentary meal. Dah save sikit budget makan. Sekarang ni, aku makan kat tempat kerja. A quarter meal chicken dapat membuatkan aku kenyang satu hari. Aku pergi kerja dan balik dari kerja, memang aku takyah beli makanan lain. Duit yang save tu, bolehla buat pergi sauna. Ooops, pecah rahsia pulak.

Dulu2, masa nampak kedai Kenny Rogers...aku ada buat wish nak makan quarter chicken meal tu setiap hari. Sekarang hajat dah termakbul. Tapi, aku pulak dah rasa muak sbb tipa2 hari makan ayam. Bukan tade pasta meal atau jacket potato meal. Tapi, quarter chicken meal yang paling mengenyangkan dan tak memerlukan aku membeli makanan2 lain sbg tambahan. Berat badan aku pun dah naik balik. Masa demam kuat ari tu, aku hilang 6 kgs dalam masa 3 hari. Nampaklah kurus sikit dan market pun naik. Kenalah, makan salad2 je lepas ni...biar leh kurus sikit. Bila dah kurus sikit, sure market makin naik...heheheh

Kalo anda ingin merasakan layanan hebat dengan senyuman yang tiada hentinya, silalah datang ke Kenny Rogers KL Sentral. Saya akan melayan anda seperti seorang putera atau puteri raja. Tapi, kalo anda tidak berpuas hati dengan makanan, jangan marahkan saya. Silalah marah manager atau tukang masak yang bertugas pada hari itu.

Hello Sir. Welcome to Kenny Rogers!!!!