Friday, March 09, 2007

MONOLOG "TENTANG CINTA" - PART 1

Aku masih ingat, relationship yang terakhir adalah pada tahun 2000. Semuanya bermula pada tahun 1996 sampailah awal 2000. Walaupun tanpa lafaz “declaration” tapi kami tahu yang kami saling menyintai dan memerlukan.

Aku tahu dia cemburu bila dia melihat aku bersama dengan insan lain. Aku tahu dia perlukan aku apabila dia datang padaku dan suarakan permasalahannya dan meminta aku menjadi pendengar setianya. Aku tahu dia sayangkanku kerana dia sanggup bersabar dengan kerenahku. Aku tahu dia menjaga dan mengambil berat tentangku kerana kami pernah “berperang besar” dan tidak bertegur sapa selama 6 bulan kerana aku tidak bersetuju dengan caranya yang agak keterlaluan. Dan aku tahu, aku masih merindui dan menyayanginya kerana aku masih menerimanya hanya dengan lafaz maaf darinya. Aku tahu dan dia pun tahu. Cuma dia menjadi keliru bila kami berjauhan. Hubungan kami putus begitu sahaja hanya disebabkan sepucuk surat. Sepucuk surat yang aku utuskan kepadanya, melafazkan segala rindu dendam. Namun, surat itu menjadi satu titik peralihan dalam hubungan kami.

Dia keliru dan serba salah. Aku jua keliru dan bingung. Keliru di atas kelangsungan perhubungan ini. Adakah ianya perlu diteruskan atau perlu ditangguhkan atau ditamatkan sahaja. Bagiku jarak bukanlah penghalang. Baginya, itu mungkin antara penyebabnya. Persekitaran mempengaruhi pertimbangan seseorang individu. Lantas, menjadi sesuatu yang tidak enak untuk dinikmati. Amarah dan emosi melangkaui pemikiran rasionalku. Jadi kami putus. Ternyata, aku menyesal dengan apa yang terjadi. Namun, aku terlalu ego untuk melafazkan kata maaf. Kata-kata maaf dan penjelasannya, aku campak jauh dan kutafsirkan sebagai kata-kata kebencian dan penghinaan. Kini, bila difikirkan kembali, ternyata keputusan itu terlalu terburu-buru. Usia yang masih muda, mengelabui pemikiran. Jauh dari kematangan.

Masa berlalu dan pengalaman mendewasakanku. Aku tahu, aku tidak mungkin akan kembali ke sisinya kerana dia sudah memiliki kehidupannya sendiri. Begitu jua aku. Walaupun masih terdetik di hati ini agar dia kemabli padaku namun desah hati ini tidak mungkin akan membatasi pemikiran rasionalku. Manakan bisa bertepuk tangan jika sebelah tangan enggan melakukannya lagi dan hanya sebelah tangan yang beria-ia untuk bertepuk.

Semuanya aku jadikan sejarah. Dia harus kulupakan. Namun, memori bersamanya tidak pernah luput. Memori itulah yang akan menemani hari-hari sunyi dan sepiku. Memori itu adalah kenangan terindah yang berharga. Akan kusimpan sampai bila-bila. Walaupun tanpa kata cinta yang terlafaz, segala aksi dan perbuatannya serta tingkah lakunya sudah cukup untuk membuatku percaya yang dia pernah mencintai dan menyayangiku. Hati ini pernah dicuri olehnya.

No comments: